top of page
  • SUARAM

[Kenyataan Media]: Mengapa Tiada Koordinasi Antara Agensi Dalam Siasatan Kematian Dalam Tahanan?

Updated: Mar 22, 2022

Kematian dalam tahanan seorang lelaki berusia 39 tahun, di bawah jagaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak kurang dua jam ditahan langsung tidak dapat diterima.



Kematian dalam tahanan ke-lapan bagi tahun 2022 diumumkan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Azri Ahmad hari ini merupakan satu trend yang membimbangkan.

Sekiranya trend ini berterusan, jumlah kes kematian dalam tahanan dijangka akan mencecah lebih 50 kes dalam masa setahun. Jumlah ini jauh lebih banyak berbanding jumlah kematian yang direkodkan pada tahun lepas dan tahun-tahun sebelumnya menurut statistik yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri (KDN) Oktober tahun lalu. Persoalannya, adakah jumlah kematian dalam tahanan tahun ini meningkat secara mendadak atau statistik zaman lampau KDN tidak tepat?


Di dalam kes kematian yang terbaru ini, SUARAM menggesa agar pihak polis memberikan laporan susulan berkenaan dengan beberapa perkara. Pertama, bagaimana OKT boleh mengalami kesesakan nafas kurang sejam selepas ditahan, dan apakah tindakan susulan selepas OKT melaporkan dia mengalami kesesakan nafas. Kedua, pihak polis harus memberikan penjelasan tentang keadaan OKT semasa dan selepas ditahan, atau bagaimanakah dia ditahan. Sebagai contoh adakah ada pergelutan berlaku berlaku semasa penahanan.


Kami juga menuntut agar laporan bedah siasat turut diumumkan kepada masyarakat agar siasatan ini dapat dilihat sebagai telus. Sekiranya Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) benar-benar ikhlas untuk mencegah kes kematian dalam tahanan, maka mereka perlu bersikap telus dalam urusan isu kematian dalam tahanan. Maklumat dan butiran yang lebih teliti seperti laporan bedah siasat, dan hasil-hasil siasatan harus dikemukakan kepada pihak umum supaya akauntabiliti dan integriti polis terpelihara.


Pada masa yang sama, Jabatan Peguam Negara juga bertindak lembab dalam isu kematian dalam tahanan.


SUARAM ingin mempersoalkan jumlah inkuses yang dijalankan setakat ini dan mengapakah semua kes kematian dalam tahanan tidak mempunyai inkuses secara automatik seperti yang termaktub di dalam Kanun Tatacara Jenayah? Kementerian Dalam Negeri pula bersikap acuh tak acuh dalam menangani isu kematian dalam tahanan. Mengapakah tiada koordinasi diantara pihak PDRM- Kementerian Dalam Negeri- dan Jabatan Peguam Negara dalam kerja siasatan dan tindakan susulan mengenai kematian dalam tahanan?


SUARAM sebelum ini telah mengetengahkan punca utama mengapa kes kematian dalam tahanan berlaku. Seperti kes-kes sebelum ini, kematian dalam tahanan kebanyakannya berlaku atas faktor kesihatan. Pihak polis sering mengingkari Seksyen 10 Kaedah-kaedah Lokap 1953, yang mewajibkan pemeriksaan kesihatan terhadap OKT. Perkara ini dititik beratkan, banyak kematian dalam tahanan yang dapat dielakkan.


SUARAM juga ingin mengulangi beberapa tuntutan bagi mengelakkan kematian dalam tahanan terus berlaku. Pertama agar satu unit kesihatan ditubuhkan di pusat tahanan dengan secepat mungkin. Kedua adalah menubuhkan badan bebas seperti IPCMC yang dapat menilai dan memberikan saranan untuk menambah baik kekurangan dalam PDRM seperti latihan profesional bagi pegawai polis yang menjaga tahanan, kekurangan sumber manusia dan kebajikan ahli PDRM serta kemudahan kesihatan dalam lokap polis.





28 views0 comments
bottom of page