Events
Pameran Ruang Khas: Kronologi Siasatan Kematian Balamurugan
Pengenalan​
​
26 Jun merupakan Hari Antarabangsa Menyokong Mangsa-Mangsa Penyeksaan. Setiap tahun, pelbagai pemegang taruh dari peringkat antarabangsa hinggalah kepada individu di seluruh dunia menyatakan sokongan terhadap mereka yang diseksa dan masih diseksa sehingga hari ini. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetap dengan pendirian bahawa penyeksaan adalah jenayah kepada kemanusiaan.
​
Bersempena hari antarabangsa tersebut, pihak SUARAM akan menganjurkan satu pameran berjudul ‘Ruang Khas: Kronologi Siasatan Kematian Balamurugan.’ Pada 30 Mei 2024 lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis dan kerajaan untuk membayar ganti rugi kepada keluarga S Balamurugan dimana beliau telah meninggal dunia semasa dalam tahanan polis pada 2017.[1] Beberapa hari selepas kematian dilaporkan oleh pihak media, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memutuskan untuk menjalankan siasatan – termasuklah lawatan ke beberapa tempat, menembual seramai 54 saksi dan mendapatkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes tersebut.
​
Laporan terperinci daripada pihak EAIC[2] mendedahkan pelbagai faktor dan isu-isu yang membawa kepada kematian seseorang dalam tahanan – iaitu penyeksaan dan layanan buruk. Kisah Balamurugan ini sangat memilukan dan mempunyai beberapa cadangan penambahbaikan yang seharusnya diangkat dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memperkukuhkan integriti sistem kepolisan di negara ini.
​
Di dalam pameran Ruang Khas ini juga, pihak SUARAM akan mempamerkan kempen-kempen yang dijalankan dalam meningkatkan usaha Malaysia untuk mencapai negara bebas seksaan. Jelajah ini akan berlangsung selama tiga hari bermula di Kuala Lumpur (26-28 Julai), Pulau Pinang (23-25 Ogos) dan terakhir sekali di Johor (13-15 September). Pameran ini terbuka kepada orang awam dan tiada sebarang caj dikenakan.
​
[1] Berita yang melaporkan tentang kes kematian dalam tahanan, S Balamurugan https://www.astroawani.com/berita-malaysia/keluarga-tahanan-mati-dalam-lokap-dapat-pampasan-lebih-rm300000-472815
[2] Laporan Siasatan Kematian S Balamurugan ketika Dalam Tahanan PDRM oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), https://www.eaic.gov.my/media-home/laporan/laporan-siasatan
Aktiviti-aktiviti Sepanjang Pameran