Memorandum Bantah Kekerasan dan Penyalahgunaan Kuasa Polis
- Joint Media Statement

- 26 minutes ago
- 6 min read
11 Februari 2026
Disediakan untuk: Ketua Polis Negara
Disediakan oleh: Sekretariat Himpun
PENDAHULUAN
Memorandum ini dikemukakan susulan siri insiden kepolisan yang menimbulkan kebimbangan serius terhadap perlindungan hak asasi manusia, prinsip keadilan, serta tahap akauntabiliti dan profesionalisme pasukan keselamatan di Malaysia. Insiden-insiden ini tidak boleh dilihat sebagai kes terpencil, sebaliknya memperlihatkan pola kegagalan yang berulang dan bersifat sistemik.
ISU-ISU BERBANGKIT
Berikut adalah beberapa isu-isu yang berlaku kebelakangan ini, antaranya:
ISU-ISU BERBANGKIT
Berikut adalah beberapa isu-isu yang berlaku kebelakangan ini, antaranya:
Penyalahgunaan Undang-Undang Keselamatan terhadap Kanak-Kanak
Penggunaan SOSMA pada 14 Januari 2026 terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun di Jitra, yang ditahan hampir sepuluh hari, jelas bercanggah dengan prinsip perlindungan kanak-kanak seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2017. Kes ini mencerminkan kegagalan serius pihak berkuasa membezakan antara prosedur siasatan dewasa dan kewajipan perlindungan khas terhadap kanak-kanak, serta kecenderungan menggunakan undang-undang paling keras tanpa pertimbangan munasabah.
Penggunaan Kuasa Maut dan Kegagalan Penilaian Awal SOP
Dalam kes tembakan di Durian Tunggal, keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mengklasifikasikan semula kes sebagai bunuh menimbulkan persoalan besar terhadap penilaian awal polis berkaitan penggunaan senjata maut. Naratif awal yang dikeluarkan polis berisiko mengalihkan perhatian awam daripada persoalan teras—sama ada penggunaan kuasa tersebut perlu, berkadar dan mematuhi SOP.
Kes ini selari dengan insiden lain, termasuk tindakan menampar seorang penunggang motosikal di Johor Bahru semasa operasi, yang kemudiannya dijustifikasikan sebagai “tindakan spontan”. Justifikasi sedemikian memperlihatkan budaya kepolisan yang menormalisasi penggunaan kekerasan dan kegagalan mematuhi disiplin secara profesional.
Kelewatan Keadilan dan Ketidakpatuhan Keputusan Mahkamah
Dalam kes kematian Soosaimanicckam a/l Joseph pada Mei 2019 semasa Latihan Pegawai Kadet Graduan TLDM, walaupun laporan polis dan memorandum telah dikemukakan kepada Ketua Polis Negara dan Pejabat Peguam Negara, siasatan hanya dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir tujuh tahun kemudian. Lebih membimbangkan, sejak September 2025 sehingga kini, keluarga masih tidak menerima sebarang perkembangan walaupun wujud keputusan mahkamah yang jelas. Kelewatan ini mencerminkan kegagalan institusi dalam memastikan keadilan yang tepat pada masanya dan berkesan.
Pendekatan Represif terhadap Perhimpunan Aman
Walaupun kerajaan telah menyatakan komitmen untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, pendekatan di lapangan masih memperlakukan perhimpunan sebagai ancaman keselamatan. Insiden semasa penyerahan memorandum “Reform Akta Dadah” di Parlimen pada 22 Januari lalu, di mana anggota keselamatan bertindak secara beremosi dan cuba mencetuskan provokasi, serta tindakan Polis Bantuan Universiti Malaya menarik poster peserta dalam perhimpunan “Tolak Hukuman Tatatertib”, menunjukkan kegagalan memahami perhimpunan aman sebagai hak perlembagaan, bukan risiko keselamatan.
Kegagalan Serius dalam Operasi Serbuan dan Perlindungan Hak Individu
Serbuan polis pada 28 November 2025 terhadap sebuah pusat kesihatan memperlihatkan kegagalan serius dalam perancangan, pelaksanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Walaupun lebih 200 individu ditahan dalam operasi bersama polis, pihak berkuasa tempatan dan jabatan agama, tindakan tersebut dilakukan tanpa asas bukti yang mencukupi, sehingga majistret memutuskan bahawa pihak polis gagal memenuhi sebarang elemen kesalahan jenayah dan mengarahkan semua tahanan dibebaskan kerana telah ditahan melebihi 24 jam.
Lebih membimbangkan, operasi ini dijalankan dengan kehadiran media, menyebabkan pendedahan identiti individu yang ditahan dan pelanggaran jelas terhadap hak privasi serta prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Terdapat juga aduan berhubung kekerasan lisan, penghinaan dan shaming semasa serbuan dan dalam tahanan, serta soalan-soalan yang tidak wajar dan menceroboh privasi ketika pengambilan kenyataan, khususnya berkaitan orientasi dan amalan seksual. Amalan ini mencerminkan pendekatan siasatan berasaskan stigma, bukannya undang-undang dan profesionalisme.
Kenyataan Awam Polis yang Tidak Konsisten dan Menghakimi
Dalam beberapa kes, kenyataan awam polis bersifat defensif, tidak konsisten dan cenderung membentuk persepsi awam sebelum siasatan selesai. Sama ada melalui penekanan latar belakang mangsa, justifikasi kekerasan sebagai tindakan spontan, atau pelabelan prematur seperti “pusat songsang” tanpa bukti, pendekatan komunikasi ini bukan sahaja menjejaskan hak mangsa dan keluarga, malah melemahkan integriti polis sebagai institusi penguat kuasa yang sepatutnya neutral dan bertanggungjawab.
Kematian dalam Tahanan dan Kegagalan Ketelusan
Peningkatan kematian dalam tahanan—22 kes secara keseluruhan dan 12 daripadanya di lokap polis—menimbulkan kebimbangan serius terhadap kewajipan penjagaan (duty of care) oleh negara. Kenyataan ringkas Menteri Dalam Negeri yang mengaitkan kematian tahun 2025 dengan “faktor kesihatan” gagal memberikan penjelasan bermakna mengenai punca sebenar kematian, sekaligus menutup ruang penelitian awam terhadap kemungkinan kecuaian, pelanggaran SOP, atau layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Kegagalan Menjamin Akses Keadilan kepada OKU
Kes serangan terhadap Ong Ing Keong, seorang individu pekak, menunjukkan kegagalan serius pihak polis dan pendakwaan dalam memastikan akses keadilan kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Walaupun pendakwaan akhirnya dibuat, proses siasatan gagal untuk,memberi makluman penuh dan penglibatan undang-undang yang menyeluruh kepada mangsa. Lebih membimbangkan, mangsa ditekan untuk menutup kes tanpa kehadiran peguam, jurubahasa bahasa isyarat, atau akses kepada telefon bimbit, yang merupakan alat komunikasi utama bagi individu pekak. Kes ini jelas mencerminkan kegagalan sistemik yang memerlukan pembaharuan segera agar akses keadilan untuk OKU tidak terus dinafikan.
Melindungi Wanita sebagai Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Akses kepada keadilan bagi wanita dalam kes keganasan rumah tangga masih berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian serius. Terdapat keadaan di mana mangsa wanita tidak menerima bantuan yang sewajarnya ketika membuat laporan polis, sekali gus memberi kesan terhadap tahap kepercayaan orang awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang. Sehubungan itu, adalah penting agar pendekatan penguatkuasaan sentiasa berteraskan perlindungan hak dan keselamatan mangsa. Penekanan yang berlebihan terhadap aspek pentadbiran seperti pematuhan kod pakaian berpotensi mengalihkan fokus daripada tanggungjawab utama penguat kuasa, dan secara tidak langsung boleh menjejaskan akses mangsa kepada keadilan serta perlindungan yang segera dan berkesan.
Komuniti Orang Asli Masih Terus Berdepan Diskriminasi Sistemik
Komuniti Orang Asli masih berdepan dengan diskriminasi yang berterusan, khususnya dalam mempertahankan tanah adat. Penahanan 21 orang penduduk Orang Asli di Kampung Jemeri, Rompin pada 9 Februari bukanlah isu terpencil. Pada 23 Disember 2025 lalu, penduduk Orang Asli di Kampung Tanam juga turut ditahan hanya kerana mempertahankan kawasan yang menjadi sumber kehidupan komuniti. Kebanyakan kampung Orang Asli menghadapi ancaman pencerobohan oleh pelbagai pihak, termasuk pemaju dan syarikat komersial. Apabila komuniti membantah atau cuba mempertahankan hak mereka, tindakan undang-undang pula dikenakan kepada mereka.
Banyak kes Orang Asli sering tidak mendapat perlindungan sewajarnya daripada pihak berkuasa. Dalam banyak keadaan, laporan polis yang dibuat oleh mereka tidak diberikan perhatian serius, manakal ancaman dan gangguan terhadap komuniti terus berlaku tanpa tindakan efektif. Situasi ini mencerminkan kegagalan sistem untuk melindungi hak mereka serta wujudnya layanan tidak adil yang berterusan terhadap komuniti ini.
Kesemua isu di atas memperlihatkan persamaan yang jelas, iaitu:
Ketidakjelasan dan ketidakpatuhan terhadap SOP;
Budaya penggunaan kuasa dan normalisasi kekerasan;
Ketiadaan akauntabiliti dan ketelusan yang bermakna;
Pengendalian komunikasi awam yang bermasalah dan menghakimi;
Kesan emosi, psikologi dan sosial yang mendalam terhadap mangsa, keluarga dan komuniti.
Pola ini menegaskan bahawa pembaharuan bersifat kosmetik tidak lagi mencukupi. Reformasi kepolisan yang menyeluruh, berasaskan hak asasi manusia, ketelusan dan akauntabiliti awam, perlu dilaksanakan dengan segera dan tanpa kompromi.
TUNTUTAN
Kami selaku organisasi masyarakat sivil, dan juga pihak-pihak yang mengambil berat terhadap isu integriti kepolisan di Malaysia ini ingin menuntut:
Pembetulan SOP dan Pengendalian Kes Berprofil Tinggi
Kami menuntut agar PDRM segera menyemak, memperjelas dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan tangkapan, siasatan, serbuan, penggunaan kekerasan dan penggunaan senjata api, selaras dengan prinsip keperluan, kesepadanan dan akauntabiliti.
Kes berprofil tinggi, kes melibatkan kematian, kecederaan serius atau institusi keselamatan lain tidak wajar dikendalikan di peringkat negeri atau oleh pegawai rendah, sebaliknya mesti dinaikkan dan disiasat di peringkat Bukit Aman. Kes kematian pegawai kadet TLDM J Soosaimanicckam, yang telah diputuskan sebagai homisid oleh Mahkamah Tinggi Ipoh tetapi masih tanpa perkembangan jelas, menunjukkan keperluan mendesak untuk peringkat Bukit Aman mengambil kes ini.
Ketelusan Awam dan Tanggungjawab kepada Parlimen serta Mangsa
Kami menuntut agar PDRM menunaikan tanggungjawab institusinya terhadap orang awam dan Parlimen melalui pelaporan yang berkala, tepat dan telus mengenai penggunaan kuasa, kematian dalam tahanan, serbuan dan tindakan disiplin dalaman. Pada masa yang sama, PDRM mesti menjamin hak mangsa dan keluarga untuk menerima maklumat dan kemas kini siasatan secara bermakna, akses kepada rawatan perubatan bebas serta sokongan psikososial, dan menghentikan amalan kenyataan awam yang bersifat prejudis atau menghakimi sebelum siasatan selesai.
Disokong oleh:
Justice for Sisters
Centre for Independent Journalism
MANDIRI
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
Liga Rakyat Demokratik
Federasi Pemuda Kebangsaan
Liga Mahasiswa Malaysia
Gerakan Perempuan Melawan
SPARC
Ruang Lawan
Parti Sosialis Malaysia
Suara Siswa Universiti Malaya
HAYAT
Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH
New Generation Universiti Malaya
Demokrat Malaya
Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
Bangsa Mahasiswa UKM
SIS Forum (Malaysia)
Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
Universiti of Malaya Association of New Youth (UMANY)
Neo-Siswa Universiti malaya
CRIB Foundation (Child Rights Innovation & Betterment)
SIUMAN Collective
People Like Us Hang Out (PLUHO)
Women’s Aid Organisation (WAO)






Comments