SUARAM BANTAH PENAHANAN TANPA BICARA DAN MENUNTUT INKUES MANDATORI TERHADAP KEMATIAN DALAM TAHANAN
SUARAM berasa amat kesal dan bimbang terhadap kes kematian dalam tahanan ke-20 yang diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini.* Kami bantah sekeras-kerasnya terhadap undang-undang penahanan tanpa bicara serta mempersoalkan ketelusan dan keterbukaan dalam siasatan kes kematian dalam tahanan selama ini.
Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari. Ia bukan sahaja mendedahkan tahanan-tahanan kepada risiko penderaan, salah laku atau kecuaian oleh pegawai berkenaan, malah tahanan-tahanan tidak mempunyai platform untuk mengadu atau memaklumkan keadaan kesihatan mereka yang tidak sesuai untuk duduk di dalam lokap.
Walaupun Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) ditubuhkan pada awal tahun, tetapi tiada penambahbaikan mengenai isu ini. Kami memahami masa diperlukan untuk siasatan polis dalam kes-kes kematian dalam tahanan sebegini. Walau bagaimanapun, masa yang diambil adalah terlalu lama. Suku pertama tahun 2022, kita mendapati ada 14 kes kematian dalam tahanan. Namun, setelah enam bulan berlalu, USJKT masih gagal memberi sebarang maklumat mengenai perkembangan siasatan kes-kes berkenaan.
Nama dan butiran-butiran mangsa, hasil laporan bedah siasat, keadaan kesihatan fizikal dan mental mangsa sebelum masuk lokap, status dan perkembangan siasatan semasa masih tidak diketahui. Ia seolah-olah percubaan pihak PDRM untuk memadamkan identiti mangsa dan depersonalisasi mereka, malah melayan mangsa-mangsa ini seperti angka dalam statistik sahaja.
Tiada sesiapa kecuali PDRM sendiri yang tahu cara operasi atau prosedur PDRM dan USJKT dalam siasatan dan pengendalian kematian dalam tahanan. USJKT gagal memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa siasatan mereka adalah bebas, tidak menerima tekanan atau campur tangan daripada pihak atasan.
Pihak masyarakat sivil telah berkali-kali menghantar surat dan memorandum kepada Bukit Aman untuk mengaturkan satu mesyuarat bersama Pengarah JIPS sejak Februari 2022. Namun, pihak kami hanya diberitahu untuk menunggu e-mel mengenai perkembangaan pengaturan mesyuarat dan tiada perkembangan selepas itu. Hal ini bercanggah dengan nilai keterbukaan dan ketelusan yang selalu disebut oleh PDRM dalam pengendalian kes kematian dalam tahanan.
Selain itu, kami juga berasa amat terkejut dengan fakta di mana hanya satu kes dituduh di mahkamah dan hanya satu kes yang dirujukkan kepada koroner untuk prosiding inkues setakat ini sedangkan Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah dengan jelas menetapkan kewajipan menjalankan prosiding inkues bagi semua kematian yang berlaku dalam tahanan polis.
Kami ingin menegaskan pendirian kami bahawa inkues mandatori perlu dijalankan dengan segera bagi semua kematian dalam tahanan bagi mengelakkan pengubahan bukti dan pemalsuan tempat kejadian jenayah. Ia adalah cara yang paling sesuai dan berkesan di sisi undang-undang untuk mencari kebenaran serta menentukan punca kematian sama ada ia melibatkan unsur jenayah, kecuaian atau faktor kesihatan.
Siasatan terhadap kes-kes berkenaan perlu dilaksanakan oleh pihak ketiga ataupun badan luar yang bebas dan bukannya oleh PDRM bagi menggelakkan sebarang campur tangan dan konflik kepentingan. Kami berpendapat bahawa tiba masanya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk mengambil alih siasatan kes-kes kematian dalam tahanan polis bagi menentusahkan sama ada institusi ini dapat memelihara keberkesanan, kebebasan dan kesaksamaannya dalam perkara ini.
Keadilan yang dilenggahkan adalah keadilan yang dinafikan. PDRM perlu menjadi lebih telus dan terbuka dalam pengurusan kematian dalam tahanan, sentiasa mengemas kini status dan perkembangan siasatan untuk memastikan ahli keluarga dan pihak umum memahami usaha-usaha PDRM.
Comentarios