Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) telah melancarkan satu kajian berkaitan ‘Kesan Sosioekonomi Akibat Daripada Penahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) Di Malaysia’ bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor. Hasil kajian adalah berdasarkan temubual bersama bekas tahanan SOSMA dan ahli keluarga kepada tahanan semasa, serta sesi ‘townhall’ yang dihadiri oleh 120 individu dan keluarga yang terkesan terus oleh SOSMA.
SOSMA diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai gantian kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (EO). Ia membolehkan penahanan selama 28 hari tanpa mahkamah dan sekatan akses kepada peguam selama 48 jam pertama dan isu ikat jamin. Ini telah menimbulkan keprihatinan yang serius berkaitan pelanggaran hak asasi manusia dan perlindungan terhadap tahanan.
Sebelum ini terdapat banyak penyelidikan mengenai aspek undang-undang dan pelanggaran hak asasi manusia SOSMA, justeru kajian ini akan lebih memberi tumpuan kepada kesan sosioekonomi terhadap individu yang ditahan, serta impak kepada keluarga mereka termasuk
kanak-kanak. Hal ini kerana, individu dan mereka yang terjejas oleh SOSMA seringkali berdepan dengan cabaran ekonomi yang serius, termasuk kehilangan pendapatan, beban kewangan, dan tekanan emosi.
Kajian ini mendapati bahawa kebanyakan individu yang ditahan di bawah SOSMA mengalami penurunan drastik dalam pendapatan mereka, di mana rata-rata kehilangan pekerjaan semasa ditahan dan sukar untuk kembali ke pekerjaan asal selepas dibebaskan. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang rata-rata berada dalam golongan B40, tetapi juga kepada keluarga mereka yang terpaksa menanggung beban kewangan tambahan, termasuk kos lawatan ke pusat tahanan yang mencecah RM1,000 sebulan dan yuran guaman yang boleh mencecah puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit yang pastinya merumitkan lagi keadaan kewangan mereka.
Penahanan SOSMA juga menyebabkan ketidakstabilan dalam kehidupan keluarga dan dapat membawa kepada pecah belah keluarga serta hubungan yang tegang antara pasangan dan anak-anak. Ini juga menjejaskan kanak-kanak secara emosi dan mempengaruhi pendidikan mereka. Majoriti kanak-kanak mengalami tekanan dan ketidakstabilan emosi akibat penahanan tahanan. Mereka turut menunjukkan gejala seperti keengganan untuk pergi sekolah, masalah tidur, dan kesusahan emosi. Kesannya turut terpalit dalam pendidikan di mana ramai antara mereka sering mengalami kesulitan dalam pembelajaran, ketidakhadiran sekolah, dan kebimbangan akibat persepsi negatif daripada rakan-rakan sebaya yang jelas mengganggu perkembangan pendidikan dan psikososial kanak-kanak.
Antara cadangan yang diusulkan termasuk pindaan SOSMA terutamanya dalam peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan isu ikat jamin, reman 28 hari dan akses kepada peguam pada 48 jam pertama. Cadangan-cadangan lain seperti mempercepat proses mahkamah, dan menyediakan sokongan kepada tahanan dan keluarga mereka. Cadangan lain termasuk program pendidikan dan latihan kemahiran untuk tahanan, bantuan kewangan, dan sokongan pemulihan selepas pembebasan agar mereka dapat menjalani hidup dan berintergrasi bersama masyarakat seperti sedia kala. Antara pandangan majoriti lain adalah adanya keperluan kepada sokongan yang lebih besar kepada ibu tunggal yang terjejas oleh SOSMA kerana rata-rata beban yang ditanggung oleh tahanan sebelum ini, kebanyakannya digalas oleh para isteri dan ibu tunggal.
Hasil dari kajian ini menemukan bahawa SOSMA bukan hanya tentang hukuman individu yang
ditahan, tetapi juga memberi hukuman dan kesan yang lebih besar pada kehidupan sosial, ekonomi, dan psikologi tahanan, bekas tahanan, bekas banduan, serta keluarga dan masyarakat sekitar. Kajian ini diharapkan menjadi seruan untuk pembuat dasar dan pihak berkepentingan lain untuk menilai semula implikasi SOSMA serta mempertimbangkan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dengan menjamin hak asasi manusia, serta hak ekonomi, sosial, dan budaya.
Comments