top of page

7 Tahun Berlalu: Keadilan Bagi Mendiang Soosaimanicckam Kini Terletak di Tangan Jabatan Peguam Negara

  • SUARAM
  • 2 days ago
  • 2 min read

Hari ini genap tujuh tahun kematian Soosaimanickkam A/L Joseph, seorang Pegawai Kadet di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Beliau disahkan meninggal dunia pada 19 Mei 2018 – hanya beberapa hari setelah diterima masuk sebagai Pegawai Kadet Graduan (PKG) di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak. Sepanjang tempoh tujuh tahun ini, ahli keluarga telah menempuh pelbagai jalan untuk menuntut keadilan — bermula dari memfailkan inkues dan rayuan. Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Rayuan Jenayah pada 29 Julai 2024, memutuskan bahawa kematian Soosaimanicckam adalah akibat homisid (homicide) dan berpunca daripada tindakan langsung pegawai-pegawai TLDM.


Sejurus selepas keputusan tersebut, ahli keluarga telah membuat laporan polis bagi mendesak agar kertas siasatan dibuka berdasarkan keputusan mahkamah. Mereka turut menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman dan juga kepada Jabatan Peguam Negara. Namun, sehingga kini, masih tiada sebarang maklum balas atau tindakan daripada mana-mana institusi. Kegagalan ini mencerminkan betapa rapuhnya sistem akauntabiliti institusi di Malaysia, tidak konsisten dalam menegakkan keadilan serta kurangnya ketelusan pihak berkuasa dalam menangani kes-kes kematian akibat kecuaian institusi — meskipun segala saluran undang-undang telah pun diusahakan oleh pihak keluarga.


Oleh demikian, pihak SUARAM menggesa:

  1. Jabatan Peguam Negara menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dan mengarahkan siasatan baharu dibuka di bawah Seksyen 302 dan/atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan, diketuai oleh pasukan khas bebas daripada PDRM Bukit Aman dan bukan pihak yang terlibat secara langsung sebelum ini.

  2. Pastikan semua individu yang dikenal pasti terlibat dalam kes homisid Soosaimanicckam ini harus didakwa tanpa perlindungan dan kompromi, demi memastikan keadilan ditegakkan dan prinsip undang-undang dihormati.


Kegagalan Jabatan Peguam Negara untuk mengarahkan pembukaan siasatan susulan terhadap keputusan mahkamah bukan sahaja mencerminkan kelonggaran sistem perundangan dalam melindungi nyawa rakyat, tetapi turut menimbulkan persoalan sama ada institusi ini secara tidak langsung sedang mengekalkan budaya bebas dari hukuman dan membiarkan risiko tragedi sebegini terus berulang.

 

Dalam solidariti,

Sevan Doraisamy

Pengarah Eksekutif SUARAM

 
 
 

コメント


  • Facebook
  • Twitter
  • YouTube
  • Instagram
About Us
Privacy Policy
bottom of page