Sudah Dua Hari, Menteri dan PDRM Masih Membisu: Buka Siasatan di bawah Seksyen 302 Sekarang!

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) memandang serius kematian Noorizwan Zulkefly, 42 tahun, ketika berada dalam tahanan polis di IPD Cheras pada 1 Oktober 2026, seperti yang didedahkan oleh ahli keluarga dan Lawyers for Liberty (LFL) pada 7 Oktober lalu.
Noorizwan ditahan pada 20 September 2026 dan berada dalam tahanan polis selama kira-kira 10 hari sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM). Menurut laporan media, kecederaan merangkumi bengkak pada kaki dan lutut, luka di bahagian belakang badan serta pergelangan tangan, tulang rusuk patah dan kecederaan teruk pada kepala.
Lebih membimbangkan, keluarga mangsa mendakwa bahawa mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai penangkapan Noorizwan, malah mangsa juga tidak diberikan peluang untuk menghubungi keluarganya sepanjang tempoh tahanan. Keadaan ini menimbulkan persoalan serius mengenai pematuhan prosedur penahanan serta hak tahanan untuk berhubung dengan keluarga.
Meskipun kes ini telah didedahkan sejak dua hari lalu dan dua laporan polis dilakukan di IPD Cheras, pihak polis dan Menteri Dalam Negeri masih belum memberikan sebarang kenyataan atau penjelasan berkaitan kes ini. Ketiadaan penjelasan segera dan telus daripada pihak berkuasa ini hanya menambah kepada penderitaan keluarga yang terpaksa menanggung beban ketidakpastian, sekaligus membelakangkan hak keluarga untuk mendapat kebenaran tentang sebarang pelanggaran hak asasi terhadap mangsa.
SUARAM menegaskan bahawa keselamatan dan nyawa setiap tahanan merupakan tanggungjawab pihak berkuasa yang menahan mereka. Kegagalan memberikan penjelasan yang telus hanya menambahkan penderitaan keluarga dan menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, SUARAM menggesa:
PDRM segera membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kemungkinan berlakunya kesalahan membunuh, berdasarkan kecederaan serius yang dilaporkan pada tubuh mangsa.
Menteri Dalam Negeri dan PDRM segera memberikan penjelasan terbuka mengenai keadaan kematian mangsa, termasuk sebab penahanan, rekod reman, pematuhan prosedur tahanan serta tindakan yang telah diambil. Semua bukti berkaitan, termasuk rakaman CCTV, rekod lokap dan rekod perubatan, mesti dipelihara dan diperiksa secara menyeluruh.
Siasatan mesti dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT), dan bukan IPD yang terlibat bagi mengelakkan konflik kepentingan. Mana-mana anggota yang disyaki terlibat mesti disiasat tanpa perlindungan atau campur tangan.
Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) segera campur tangan dan memantau siasatan ini bagi memastikan ia dijalankan secara telus dan adil.
Dalam solidariti,
Azura Nasron
Pengarah Eksekutif SUARAM




Comments