top of page
  • SUARAM

DAKWAAN PENYEKSAAN DI PENJARA: KDN HARUS TELUS DALAM SIASATAN DANAMBIL TINDAKAN SEGERA

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengambil serius mengenai dakwaan terhadap

warden-warden di penjara utara Semanjung Malaysia yang memberi layanan buruk dan

mendera banduan.


Berdasarkan laporan media Free Malaysia Today, banduan-banduan telah dipukul dan diseksa menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul, dinafikan akses kepada bekalan air yang mencukupi dan makanan yang bersih dan selamat, tidak diberikan rawatan rapi dan profesional, serta dibogelkan untuk mengaib dan menghina seseorang. Ketika Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) melawat ke penjara, warden-warden pula menyimpan alat-alat yang digunakan untuk penderaan. Dakwaan-dakwaan ini telah melanggar peruntukan-peruntukan dalam Kaedah-kaedah Lokap 1953 dan Akta Penjara. Ia bukan sahaja mencabar integriti Jabatan Penjara, malah mencemarkan nama baik Malaysia sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat

antarabangsa.


SUARAM mengecam sekeras-kerasnya terhadap sebarang bentuk penyeksaan. SUARAM menggesa Menteri Dalam Negeri menjalankan siasatan secara telus dan segera serta mengambil tindakan disiplin yang setimpalnya terhadap si pelaku bagi mengelakkan tragedi-tragedi berlaku. Mangsa-mangsa penderaan ini pernah membuat aduan pada tahun lepas namun aduan mereka tidak dilayan. Ini merupakan cubaan kedua dimana 125 orang banduan menandatangani petisyen dan meminta pihak kerajaan mencampur tangan dan mengambil tindakan.


SUARAM bimbang bahawa bilangan mangsa adalah jauh lebih tinggi. Hal ini kerana pegawai berkenaan selalu bebas daripada sebarang hukuman. Berdasarkan dokumentasi SUARAM, hanya lima pendakwaan jenayah terhadap penderaan dalam tahanan di antara tahun 1981 hingga 2021, manakala pendakwaan untuk penyeksaan bagi mangsa yang masih hidup jarang berlaku, dengan hanya satu kes sedemikian direkodkan.


Oleh hal yang demikian, SUARAM menyeru agar kerajaan semak semula undang-undang berkenaan malah memperkasa sistem semak dan imbang yang sedia ada. Sebagai contoh, SUHAKAM harus diberikan kuasa membuat lawatan kejutan ke penjara bagi mendapatkan gambaran yang sebenar berkaitan dengan tahanan. Ia juga mengelakkan sebarang notis awal yang memberi peluang kepada pelaku, untuk merosakkan bukti dan tempat kejadian. Peranan Hakim Pelawat juga perlu diperkukuhkan bagi membanteras segala layanan zalim terhadap banduan. Kerajaan juga harus mengubal satu Akta Anti-penyeksaan bagi menjenayahkan sebarang bentuk penyeksaan.


Akhir sekali, SUARAM menggesa Malaysia untuk menyertai Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT). Penyertaan Malaysia kepada UNCAT akan membantu negara untuk membangunkan langkah perundangan, pentadbiran, kehakiman dan dasar yang berkesan bagi melarang dan mencegah tindakan penyeksaan dan penderaan.

8 views0 comments

Comments


bottom of page