top of page
  • SUARAM

DAKWAAN ROGOL TERHADAP ANGGOTA POLIS: KERAJAAN PERLU TEGAKKAN KEADILAN

serta sistem akauntabiliti salah laku Polis


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengambil serius mengenai dakwaan terhadap seorang inspektor polis yang merogol seorang mangsa dan menggesa agar penggantungan kerja inspektor tersebut perlu dijalankan dengan serta-merta sehingga satu penyiasatan yang bebas dilaksanakan. Polis yang sepatutnya menjadi pelindung kepada masyarakat telah mengancam keselamatan individu. Kami melihat perbuatan rogol ini satu jenayah yang serius.

SUARAM meminta agar satu siasatan terhadap inspektor polis itu dilaksanakan secara telus dan terbuka. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus sentiasa kemas kini perkembangan siasatan serta mengumumkan tindakan susulan yang diambil. Perkara ini tidak boleh hanya tertakluk kepada tindakan tatatertib sahaja tetapi inspektor yang didakwa terlibat dalam kes rogol ini harus dituduh di mahkamah.


SUARAM juga mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) PDRM ketika mengendalikan kes berkaitan dengan rogol dan gangguan seksual. Memandangkan Akta Antigangguan Seksual telah diwartakan, PDRM harus meneliti semula dan memperhalusi SOP yang lebih sensitif kepada gender, malah memberi latihan profesional kepada pegawai-pegawai penyiasat berkenaan.


SUARAM mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual yang dilakukan oleh pegawai polis. Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman.

Kes rogol ini adalah antara kes yang memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil (civil society organisation - CSO). Namun dalam konteks Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang sedia ada, ia tidak mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan yang setimpalnya. Sebarang keputusan siasatan oleh IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan untuk melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC.


SUARAM menyeru agar kerajaan baharu mengadakan satu mesyuarat libat urus bersama pihak CSO untuk kaji semula Akta IPCC yang sedia ada, sama ada menggantikannya dengan IPCMC atau memasukkan elemen-elemen seperti suruhanjaya yang bebas serta mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan ke dalam IPCC.


SUARAM memandang serius terhadap salah laku inspektor polis tersebut. Kami menekankan bahawa keadilan kepada mangsa hanya boleh ditegakkan melalui tindakan yang tegas dan telus terhadap inspektor tersebut. Sistem akautabiliti polis pula perlu dikukuhkan dengan segera bagi memulihkan kepercayaan umum terhadap pihak polis.

46 views0 comments
bottom of page