top of page
  • SUARAM

HENTIKAN SEGALA BENTUK PENYEKSAAN DALAM TAHANAN, PDRM PERLU KAJI SEMULA SOP SIASATAN POLIS

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengambil serius mengenai dakwaan yang dilaporkan oleh ‘New Straits Time’ bahawa seorang pegawai polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menyeksa seorang suspek dengan memukul bahagian tapak kakinya menggunakan rotan. Apa yang membimbangkan lagi adalah pegawai-pegawai polis lain dalam video tersebut dikatakan tidak mengambil tanggungjawab untuk menghentikan penyeksaan tersebut.


SUARAM mengecam segala bentuk penyeksaan dan kekerasan polis terutamanya di dalam tahanan. Kami menggesa agar tindakan penggantungan tugas pegawai tersebut harus dilakukan dengan serta-merta. Siasatan polis pula perlu dijalankan oleh pegawai inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Selangor dan bukannya dari IPD Klang Selatan bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan individu.


SUARAM juga menyeru agar Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin bin Husain mengeluarkan satu amaran tegas dan perintah tetap (IGSO) untuk menghentikan kaedah penyeksaan semasa tahanan dan penyiasatan.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) siasatan polis.


PDRM perlu memenuhi standard antarabangsa dan menerima pakai Prinsip Mendez di mana segala penyiasatan dan pengumpulan maklumat harus berdasarkan pematuhan kaedah saintifik, kedaulatan undang-undang, etika dan hak asasi manusia, dan bukannya melalui kekerasan atau penyeksaan. SOP siasatan polis serta sistem akauntabiliti polis perlu dikukuhkan dengan segera bagi memulihkan kepercayaan umum terhadap pihak polis.


5 views0 comments
bottom of page