top of page
  • SUARAM

MEMORANDUM KEPADA AHLI PARLIMEN MALAYSIA, TOLAK SUBSEKSYEN 4(5), SOSMA

25 Julai 2022


PENDAHULUAN


Pada 23 Mac 2022, usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) gagal mendapat sokongan yang mencukupi di Dewan Rakyat.


Seksyen 4(5) SOSMA memperuntukan:

(5) Walau apa pun subseksyen (4), seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada dua puluh lapan hari, bagi maksud penyiasatan.


Tanpa peruntukan di atas, para tahanan tidak lagi boleh dikenakan tempoh tahanan 28 hari selepas tangkapan dengan hanya mendapatkan kelulusan pegawai polis. Justeru, setiap tahanan di bawah SOSMA, boleh dikenakan tahanan reman menurut prosedur yang termaktub sedia ada di dalam akta yang lain seperti di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) iaitu, penahanan di lokap tidak melebihi tempoh 24 jam bagi tujuan siasatan dan jika penyiasatan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam, pihak polis perlu membawa tahanan ke hadapan majistret bagi memohon lanjutan tempoh reman sehingga ke 14 hari sahaja.


Diingatkan bahawa SOSMA hanyalah undang-undang prosedur bagi tujuan siasatan. Penahanan 28 hari tersebut adalah bagi tujuan siasatan bukan untuk melindungi keselamatan negara. Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam kenyataan mereka pada 23 Mac 2022 yang lalu bahawa, PDRM akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti KPJ untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah. PDRM kekal komited bagi menjalankan siasatan sebaik mungkin, dengan menggunakan akta-akta sedia ada yang masih berkuatkuasa. Ini bermakna akta sedia ada sudah mencukupi.


Diingatkan bahawa SOSMA hanyalah undang-undang prosedur bagi tujuan siasatan. Penahanan 28 hari tersebut adalah bagi tujuan siasatan bukan untuk melindungi keselamatan negara.


Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam kenyataan mereka pada 23 Mac 2022 yang lalu bahawa, PDRM akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti KPJ untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah. PDRM kekal komited bagi menjalankan siasatan sebaik mungkin, dengan menggunakan akta-akta sedia ada yang masih berkuatkuasa. Ini bermakna akta sedia ada sudah mencukupi.



PERMASALAHAN PENAHANAN SELAMA 28 HARI

SUARAM membantah tangkapan di bawah SOSMA kerana undang-undang ini jelas bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) 1948.


1. Salah-faham mengenai SOSMA

SOSMA ialah undang-undang prosedur yang beroperasi menggantikan KPJ dalam proses siasatan seseorang individu kerana disyaki melakukan kesalahan keselamatan dalam negeri yang diterangkan di bawah Bab VI (terhadap Negara), VI A (berkaitan dengan keganasan) dan VI B (jenayah terancang) Kanun Keseksaan; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM); dan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Negara Asing 2015.


Dalam erti kata lain, sudah ada Akta yang sedia ada untuk menangani keganasan dan kesalahan berkaitan jenayah terancang dan bukannya SOSMA. Apa yang membezakan SOSMA daripada akta-akta ini adalah bahawa kuasa reman yang memberikan polis kuasa yang tidak terkawal untuk menangkap dan menahan seseorang individu tanpa pengawasan kehakiman. Di bawah SOSMA, seseorang individu boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa sebarang kebenaran kehakiman dan boleh dinafikan sebarang akses kepada peguam dan keluarga sehingga 48 jam.


2. Salahguna Kuasa

Tahap kecekapan pihak polis diragui berikutan mengambil masa yang lama dalam melakukan penyiasatan. Pihak berkuasa sepatutnya melakukan siasatan lebih awal (sebelum reman) kerana polis mempunyai mekanisme membuat siasatan. Pihak Polis tidak perlu menggunakan SOSMA sekiranya benar pihak Polis sudah memiliki bukti kukuh untuk mensabitkan semua yang ditangkap dengan aktiviti militan.

Sekiranya benar ada bukti kukuh, pihak Polis boleh menahan semua yang disyaki menggunakan KPJ dan segera mendakwa mereka di mahkamah. Menteri

Dalam Negeri dalam kenyataan yang disiarkan Utusan Online bertarikh 2 Mei mengatakan Polis memiliki bukti kukuh hasil maklumat risikan yang menunjukkan kesemua yang ditahan terlibat dengan kegiatan militan.


3. Perbicaraan SOSMA Yang Berat Sebelah

Perbicaraan di bawah SOSMA yang jelas tidak adil bagi mereka yang dituduh. Perbicaraan di bawah SOSMA memberi kelebihan kepada pihak pendakwa raya. Sebagai contohnya seksyen 14 SOSMA memberi kebenaran kepada pihak pendakwa raya untuk melindungi identiti saksi pendakwa daripada diketahui oleh tertuduh termasuk peguambela. Perkara ini menyebabkan wujudnya kemungkinan saksi palsu yang diadakan bagi memberi kelebihan kepada pihak pendakwa raya.


Semasa penahanan dalam tempoh 28 hari tersebut, pengakuan dan Kenyataan 18A SOSMA diambil akan menyebabkan ketidakadilan kepada suspek kerana diragui sama ada pengakuan yang dibuat adalah secara sukarela tanpa paksaan. Juga, suspek tidak boleh dijamin dan akan ditahan reman sehingga selesai proses mahkamah.


Penahanan di bawah SOSMA bukan hanya dalam tempoh 28 hari tersebut sahaja. SOSMA menafikan hak untuk tertuduh bagi kesalahan keselamatan untuk diikat jamin. SOSMA juga memberi kuasa kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk hanya membuat permohonan secara lisan di mahkamah supaya tertuduh yang telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di Mahkamah Tinggi untuk direman sementara proses rayuan oleh pihak pendakwaan, daripada di Mahkamah Rayuan sehinggalah ke Mahkamah Persekutuan.


4. Penyalahgunaan akta bagi kes-kes yang lain

SUARAM sentiasa memantau dan mendokumentasikan kes salah guna kuasa di bawah SOSMA oleh pihak polis. Kerajaan telah kerap menggunakan SOSMA bagi kesalahan yang tidak semestinya tertakluk di bawah bidang kuasa Akta.


Pada November 2020, Lim Kian Aik dan R. Nathan telah ditahan di bawah SOSMA kerana didakwa mensabotaj perkhidmatan air di Selangor. Kerajaan mewajarkan penggunaan SOSMA dengan merangka kesalahan di bawah Bab VI (Kesalahan terhadap negara), namun Mahkamah Rayuan kemudiannya memutuskan bahawa mensabotaj perkhidmatan air bukanlah satu kesalahan keselamatan yang boleh diklasifikasikan di bawah SOSMA dan memerintahkan supaya pertuduhan terhadap tertuduh dibuat serta merta.


Begitu juga, bekas Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini juga menggesa mereka yang menyalahgunakan minyak masak bersubsidi itu ditahan di bawah SOSMA. Oleh itu, SOSMA sentiasa terdedah untuk menyimpang daripada niatnya untuk menangani kesalahan keselamatan dan membawa kepada penyalahgunaan terutamanya apabila kerajaan dan polis mahukan lebih kuasa untuk memerangi jenayah tertentu.


Walaupun kerajaan secara konsisten menolak peruntukan di bawah SOSMA yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata kerana fahaman atau aktiviti politik mereka, namun SOSMA telah digunakan berkali-kali untuk menahan penentang terhadap kerajaan seperti Khairuddin Abu Hassan, Matthias Chang, Maria Chin, G Saminathan dan P. Gunasekaran.


Tambahan pula, pengumuman Menteri Dalam Negeri baru-baru ini bahawa SOSMA boleh digunakan untuk menghalang kebebasan bersuara atas nama melindungi ketenteraman awam mengukuhkan tanggapan bahawa SOSMA dilihat oleh pihak berkuasa sebagai undang-undang untuk tujuan politik dan bukannya perkara keselamatan.


5. Rantaian pembuktian boleh terjejas

Salah satu hujah menyokong SOSMA ialah penahanan 28 hari paling penting bagi polis untuk mendapatkan dan memelihara bukti sensitif berkaitan kesalahan keselamatan tanpa diganggu gugat oleh pesalah. Bagaimanapun, mengikut angka yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri sendiri, 3,717 individu telah ditangkap di bawah SOSMA dari 2016 hingga 2022 manakala 126 didakwa di bawah kesalahan keganasan dan 552 didakwa di bawah kesalahan pemerdagangan. Ini bermakna terdapat hanya kurang daripada 20% tahanan SOSMA yang didakwa di bawah kesalahan keselamatan. Jika pemeliharaan dan pemerolehan bukti adalah sangat penting dalam tempoh 28 hari penahanan, maka mengapa terdapat lebih 80% tangkapan di bawah SOSMA tidak didakwa di mahkamah?


6. Masalah Jenayah Terancang yang Semakin Meningkat

Kelaziman jenayah terancang dan kesalahan pemerdagangan manusia yang berterusan baru-baru ini di Malaysia menunjukkan bahawa SOSMA tidak mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk menangani kesalahan keselamatan.


Malah, terdapat hujah balas bahawa penahanan tanpa bicara dalam SOSMA sebenarnya telah menghalang pesalah yang didakwa daripada bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani kesalahan ini. Selepas bertahun-tahun menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa, Nicky Liow telah memilih untuk menyerahkan dirinya kepada pihak berkuasa atas dakwaan kesalahan pengubahan wang haramnya. Peguam Nicky liow, Rajpal Singh memaklumkan kepada orang ramai bahawa anak guamnya telah memilih untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selepas usul untuk melanjutkan seksyen 4(5) SOSMA telah ditolak di Parlimen.



KES – KES CONTOH PERMASALAHAN SOSMA


1. Menggunakannya kepada Aktivis Hak Asasi Manusia.

Maria Chin Abdullah - Ditahan pada tahun 2016 di bawah selama sebelas hari. Pada waktu itu beliau masih bekerja di dalam masyarkat sivil dan mahukan sistem pilihanraya yang mengikut piawaian antarabangsa namun menjadi mangsa kerakusan dan kezaliman kerajaan pada masa itu sebagai satu ugutan dan ancaman.


2. Menggunakannya kepada Mereka Mengangkat Isu Rasuah.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang - Ditahan kerana pendedahan yang dibuat oleh beliau ketika itu berkenaan dengan 1MDB. Turut ditahan peguam yang mewakili beliau sewaktu itu.


3. Menggunakannya kepada Ahli Politik.

G Saminathan dan P. Gunasekaran - Pada tahun 2019, 12 orang telah ditahan dimana empat daripanya adalah daripada DAP atas tuduhan penglibatan dalam LTTE.


4. Permasalahan dalam pendefinisian pengganas

Jusninawati Abdul Ghani - Ditahan pada tahun 2015 dan didapati bersalah di bawah seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 7 tahun penjara. Pada tahun 2019 Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan beliau dan beliau telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. Jusninawati adalah seorang anggota polis dan ibu tunggal kepada dua orang anak.


Muhammad Zulkifli - Ditahan di bawah SOSMA pada tahun 2018 atas tuduhan menyalurkan dana sebanyak RM200 kepada kenalan beliau untuk tujuan keganasan. Beliau hanya mengetahui bahawa kenalan tersebut telah diwartakan sebagai pengganas setelah ditahan oleh pihak polis. Beliau juga telah didera secara fizikal dan emosi dalam tempoh 28 hari penahanan. Semasa ditahan, rakaman percakapan di bawah s.18A SOSMA telah diambil dan ia telah digunakan sebagai keterangan di mahkamah.


5. SOSMA dikenakan terhadap pesalah muda

Prakash Rao - Ditahan sewaktu 2019 disaat beliau berumur 18 tahun semasa di tahan di bawah SOSMA iaitu sewaktu pandemik. Namun, hanya selepas 2 tahun di dalam penjara Suaram mendapati beliau ditahan dibawah SOSMA, sewaktu itu beliau sudah berumur 20 tahun. Kami mendapat maklumat tentang kes ini semasa tersebarnya isu penyeksaan tahanan di Penjara Sungai Udangseramai 21 orang. Diantaranya adalah beliau sendiri.


6. Permasalahan Jaminan

Azmi Jalani - Ditahan di bawah SOSMA pada tahun 2015. Didapati tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada tahun 2017. 2019 Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman 8 tahun. Seterusnya Mahkamah Persekutuan menambah hukuman penjara daripada 8 kepada 12 tahun



TUNTUTAN

1. SUARAM mencadangkan agar pihak kerajaan membantah usul ini dah tidak menyambungnya untuk lagi lima (5) tahun kehadapan.


2. Sebaliknya, SUARAM mencadangkan agar pihak kerjaan memberikan fokus kepada penambahbaikan cara siasatan semua pihak termasuklah pihak polis, badan kehakiman dan lain-lain supaya setiap siasatan mampu menjadi lebih efisien dalam menangani sesebuah kes.


3. SUARAM mencadangkan agar keseluruhan peruntukan SOSMA diperhalusi semula dengan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang pernah diadakan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.



PENUTUP

SUARAM mengharapkan memorandum ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak seterus menghasilkan satu resolusi bersepadu bagi memastikan isu keselamatan negara dapat ditangani dengan lebih berkesan serta dalam masa yang sama Prinsip Hak Asasi Manusia sentiasa dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak khususnya pihak-pihak yang berautoriti.



Sekian.

90 views0 comments
bottom of page