top of page

Pihak Penjara Harus Terima Kritikan Demi Keselamatan Banduan

Writer: Azura Nasron
Azura Nasron
17 hours ago
2 min read

SUARAM mengambil maklum penafian Jabatan Penjara Malaysia terhadap dakwaan Yasin Sulaiman berhubung kewujudan hierarki, pengaruh wang dan akses kepada dadah dalam penjara. SUARAM turut mengambil maklum bahawa Yasin kemudiannya telah menarik semula kenyataan tersebut dan menjelaskan keadaan dirinya ketika kenyataan itu dibuat.


Namun, penarikan semula kenyataan tersebut tidak seharusnya menutup persoalan yang lebih besar mengenai keselamatan, integriti dan akauntabiliti dalam institusi penjara.


SUARAM khususnya memandang serius kenyataan Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa bahawa ramai bekas banduan telah berjaya selepas dibebaskan dan mempersoalkan mengapa masyarakat perlu memberi tumpuan kepada perkara negatif.


Kejayaan bekas banduan dan program pemulihan sememangnya harus diiktiraf. Namun, pemulihan adalah tanggungjawab institusi penjara, dan memastikan keselamatan banduan juga adalah tanggungjawab institusi penjara. Kejayaan dalam satu aspek tidak boleh digunakan untuk mengetepikan kelemahan dalam aspek yang lain.


Persoalannya bukan sama ada kita mahu memberi tumpuan kepada perkara “positif” atau “negatif”, tetapi sama ada setiap individu yang berada di bawah jagaan negara dilindungi daripada keganasan, penyeksaan, layanan buruk, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Begitu juga, kewujudan SOP tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa pelaksanaan SOP tersebut dipatuhi. Siasatan Awam SUHAKAM berhubung insiden di Penjara Taiping sendiri menemukan pelbagai pelanggaran serius, termasuk penggunaan kekerasan fizikal berlebihan, layanan yang menjatuhkan maruah, kegagalan memberikan rawatan perubatan yang mencukupi serta kelemahan pengurusan dan akauntabiliti.


SOP hanya bermakna sekiranya terdapat pemantauan yang mampu mengesan pelanggaran dan mekanisme akauntabiliti yang dapat mengambil tindakan apabila pelanggaran berlaku.


Kerajaan Malaysia sendiri telah menyatakan komitmen untuk memastikan reformasi penjara selaras dengan United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Nelson Mandela Rules), termasuk melalui persekitaran penjara yang kondusif, peningkatan kompetensi pegawai serta pemeriksaan berkala oleh badan dalaman dan luaran.


Dalam hal ini, Peraturan 83 hingga 85 Nelson Mandela Rules memberikan kerangka yang jelas: penjara perlu menjalani pemeriksaan dalaman dan pemeriksaan luaran oleh badan yang bebas daripada pentadbiran penjara; pemeriksa perlu mempunyai akses kepada maklumat, institusi dan banduan termasuk melalui lawatan tanpa notis awal dan temu bual sulit; dan setiap pemeriksaan perlu disusuli dengan laporan serta syor penambahbaikan.


Justeru, SUARAM menggesa Kerajaan dan Jabatan Penjara Malaysia untuk memastikan komitmen ini dilaksanakan secara berkesan. Pemeriksaan penjara perlu dilakukan secara berkala dan bebas, dengan akses tanpa halangan kepada banduan dan maklumat berkaitan, serta setiap dapatan pelanggaran perlu disusuli dengan siasatan dan tindakan yang telus.


Dalam institusi tertutup seperti penjara, pemantauan bebas bukanlah usaha mencari “perkara negatif”. Ia adalah perlindungan yang diperlukan untuk memastikan kuasa negara tidak terlepas daripada semak dan imbang, dan keselamatan setiap individu di bawah jagaannya terjamin.


Dalam solidariti,

Azura Nasron

Pengarah Eksekutif SUARAM

 
 
 

Comments


bottom of page