Polis Mesti Hormati Penegasan PMX Berhubung Hak Untuk Berhimpun di Pintu Parlimen
- SUARAM
- Aug 22
- 2 min read
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri bahawa orang awam mempunyai hak untuk berhimpun secara aman di hadapan Parlimen. Pendiran yang jelas ini menegaskan bahawa perhimpunan aman adalah satu hak perlembagaan — bukan satu kesulitan logistik — dan mengukuhkan kepentingan akses orang awam kepada institusi kuasa.
Namun begitu, kami bimbang dengan penekanan terhadap isu trafik dan koordinasi sebagai syarat untuk melaksanakan hak perlembagaan ini. Kedua-dua perhimpunan aman pada 22 Julai dan 13 Ogos menyaksikan pihak polis menggunakan langkah-langkah sekatan seperti rantai dan halangan fizikal, ketika para peserta cuba mencabar sekatan pencegahan menyeluruh yang dilaksanakan sejak pandemik. Di bawah sekatan ini, kumpulan hanya dibenarkan berkumpul di kaki bukit dengan pintu Parlimen kekal tidak boleh diakses — sekali gus menafikan keterlihatan dan jarak dekat yang diperlukan bagi menyampaikan suara mereka kepada ahli parlimen.
Gangguan trafik diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai satu akibat biasa, malah tidak dapat dielakkan, daripada perhimpunan berhampiran institusi politik. Ambang untuk menyekat perhimpunan kerana isu trafik oleh itu adalah tinggi: hanya apabila kesesakan menimbulkan risiko jelas terhadap keselamatan awam, atau apabila gangguan adalah tidak seimbang dengan tujuan protes, barulah sekatan boleh dibenarkan. Menghalang akses ke pintu Parlimen atau mengalihkan semua protes ke kaki bukit jelas sekali gagal memenuhi piawaian ini. Tanggungjawab negara adalah untuk secara aktif memudah dan membolehkan perhimpunan diadakan dalam jarak bermakna kepada sasaran mereka, bukan menundukkan hak untuk berhimpun kepada keselesaan trafik atau koordinasi birokrasi.
SUARAM menggesa pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri untuk segera menyemak dan menyelaraskan semula protokol penguatkuasaan agar mencerminkan pendirian Perdana Menteri, dengan memastikan perhimpunan difasilitasi melalui langkah yang berpatutan — seperti pengalihan trafik secara berunding atau akses berperingkat — dan bukannya sekatan menyeluruh. Pendekatan sebegini akan melengkapi usaha kerajaan yang dinyatakan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman, memastikan bahawa reformasi bukan sahaja pada tahap legislatif tetapi turut tercermin dalam amalan penguatkuasaan yang menegakkan hak perlembagaan serta mengukuhkan akauntabiliti demokratik.
Dalam solidariti,
Azura Nasron
Pengarah Eksekutif SUARAM





![[Joint Statement] - Durian Tunggal Extrajudicial Killing: Urgent Need for PDRM Accountability](https://static.wixstatic.com/media/359d16_1929db6f37b84c50ba0a86d497f31e26~mv2.png/v1/fill/w_980,h_980,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/359d16_1929db6f37b84c50ba0a86d497f31e26~mv2.png)


Comments