top of page
SUARAM

BEBASKAN AKTIVIS DAN PETANI SERTA HENTIKAN PENGUSIRAN PAKSA

Updated: Oct 24, 2023

Tindakan yang diambil oleh pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak polis terhadap petani serta aktivis semasa pengusiran paksa di Kanthan, Tambun adalah sesuatu yang tidak wajar. Berdasarkan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM), seorang pegawai PTG dengan secara kerasnya telah melanggar aktivis, Chong Yee Shan sehingga beliau jatuh ke tanah bagi menghalang jentolak dan jengkaut untuk mengusir enam petani di Kanthan pagi ini.


Chong mengalami kecederaan di bahagian hidung dan mulut serta patah gigi berikutan daripada tindakan pegawai tersebut. Pada 2.05 petang, tiga aktivis dan seorang petani, termasuk Dr Michael Jeyakumar Devaraj, Pengerusi PSM kemudiannya ditahan polis. Ini berlaku selepas usaha petani dan ketiga-tiga aktivis tersebut menghalang percubaan PTG untuk merobohkan tanah petani semasa rundingan sedang dijalankan.


Semua pihak berkuasa kerajaan, tanpa mengira mandat dan pangkat seharusnya bertanggungjawab serta menjalankan tugas dengan adil dan berintegriti. Ini termasuklah tidak menggunakan kekerasan di samping mengangkat hak, kesejahteraan dan kebajikan orang yang mereka berkhidmat, termasuk aktivis yang tanpa jemu berjuang demi komuniti rentan dan terpinggir.


Kekerasan fizikal dan penahanan sewenang-wenang oleh pegawai penguatkuasa dari PTG dan pihak polis merupakan pelanggaran kepada hak untuk kebebasan dan keselamatan orang semua petani dan aktivis yang terlibat. Perkara ini juga mengekalkan ketidakadilan kepada pemindahan, kehilangan mata pencarian dan ketiadaan perlindungan perundangan terhadap petani dimana sehingga hari ini mereka masih belum menerima alternatif penempatan semula seperti yang dijanjikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Kami menuntut pihak polis untuk segera membebaskan empat orang aktivis yang ditahan, salah seorang daripadanya, seorang petani termasuk memulakan siasatan terhadap tindakan kekerasan oleh pegawai PTG terhadap Chong. Kami menggesa Dato' Seri Anwar Ibrahim, ahli Parlimen kawasan Tambun, untuk segera melihat kesahan pengusiran paksa oleh Pejabat Tanah, di samping memantau proses yang inklusif, konsultasi yang telah berlaku dan kesannya terhadap petani dan pemegang taruh lain.

17 views0 comments

Comments


bottom of page