Ramai Mangsa Penyeksaan Masih Belum Mendapat Keadilan, Malaysia Masih Bungkam daripada Mengambil Tindakan
- SUARAM
- 10 hours ago
- 2 min read
Sempena Hari Antarabangsa Menyokong Mangsa-Mangsa Penyeksaan dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 Jun, SUARAM melancarkan satu petisyen dalam talian bertajuk “Tunjuk Rakaman Di Parlimen! Gubal RUU Pencegahan Penyeksaan Sekarang!” bagi mendesak reformasi institusi dan perundangan yang mendesak di Malaysia.
Walaupun bertahun-tahun isu penyeksaan dalam tahanan telah dilaporkan dan didokumentasikan, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus untuk mencegah penyeksaan. Kes terbaru yang mengejutkan berlaku pada 17 Januari 2025 di Penjara Taiping - lebih 60 pegawai penjara ‘bertopeng dan bersenjata’ menyerbu Dewan (tempat tahanan ditempatkan sebelum ke blok tahanan) mengarahkan semua tahanan untuk tunduk dan tangan dibelakang kepala. Mereka mengalami penderaan yang terlalu ekstrem sehingga mengakibatkan kecederaan fikizal berikutan dipukul dengan cota, rotan dan kayu, malahan ada yang ditendang, diseret dan digari. Tidak cukup dengan itu, bahagian anggota badan yang luka akibat dipukul telah dikenakan semburan lada. Salah seorang tahanan bernama Gan, berusia 60-an telah meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dan tidak menerima rawatan segera.
Pengalaman gelap Operasi Lalang, penyeksaan mangsa-mangsa tahanan ISA dan banyak lagi kes-kes kematian dalam tahanan sepatutnya memberi pengajaran besar dan kerajaan perlu lebih komited menunjukkan komitmen menegakkan hak-hak orang yang ditahan. Paling mengecewakan, Malaysia masih enggan meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT). Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, mempertahankan keputusan ini dengan alasan bahawa sistem perundangan Malaysia membenarkan hukuman rotan di bawah undang-undang sivil dan Syariah. Beliau menyatakan bahawa ratifikasi akan memerlukan pindaan undang-undang yang besar. Namun alasan ini mengelak daripada isu utama — penyeksaan dalam tahanan semakin parah dan dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian. Merujuk kepada data terkini oleh Global Torture Index, Malaysia berada di tahap berisiko tinggi - dengan mempertahankan amalan seperti rotan, kerajaan berisiko menghalalkan bentuk penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan yang lebih meluas dalam sistem tahanan.
Kes Penjara Taiping bukan kes terpencil. Ia melambangkan krisis sistemik dalam institusi penguatkuasaan undang-undang yang dibelenggu budaya impuniti. Pelaku masih bertugas tanpa tindakan susulan, sementara mangsa-mangsa dan ahli keluarga terus dinafikan keadilan. Menerusi petisyen ini, SUARAM mengemukakan tuntutan berikut:
SUHAKAM membentangkan rakaman CCTV dan dokumen siasatan awam berkaitan insiden di Penjara Taiping kepada rakyat dan ahli Parlimen;
Kerajaan Malaysia menggubal dan membentangkan Rang Undang-Undang Pencegahan Penyeksaan (RUUPP) di Parlimen sebagai langkah awal reformasi menyeluruh;
Mengambil tindakan serta-merta terhadap pegawai yang terlibat dalam kes penyeksaan di Penjara Taiping;
Membuka semula siasatan ke atas kes-kes penyeksaan terdahulu dan memberikan keadilan kepada semua mangsa.
Penyeksaan bukan sahaja melanggar maruah manusia, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hak asasi antarabangsa. Setiap individu berhak untuk selamat semasa dalam tahanan. Tanpa undang-undang khusus, mangsa terus menderita, dan pelaku terus terlepas.
Kami menyeru orang awam untuk menandatangani petisyen ini dan mendesak kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan tegas dan bermakna. Keadilan tidak boleh ditangguhkan lagi.
🖊️ Tandatangani petisyen dan kongsikan bersama:
📷 Bacaan penuh infographik kejadian di Penjara Taiping:
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Jernell Tan, Penyelaras Dokumentasi dan Pemantauan SUARAM documentation@suaram.net

Comments