Pencadang: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Penyokong: Pusat Pembangunan Rakyat Mandiri (MANDIRI)
Bahawa forum “Hak Asasi Manusia Di Bawah Saifuddin Nasution” ini menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk:
Resolusi Berkenaan Kewarganegaraan:
Gugurkan dua pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang regresif:
Perkara 14(1)(b) Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua: Ayat “mastautin secara tetap” jangan mansuhkan dari teks asal
Jangan pinda Perkara 26(2) berkaitan dengan Perkara 15(1): “Tarikh perkahwinan” jangan digantikan kepada “Tarikh mendapat kewarganegaraan”
Mewujudkan sebuah jawatankuasa khas, libatkan semua pemegang taruh seperti badan guaman, pakar akademik, badan-badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat sivil (CSO), aktivis, ketua-ketua komuniti tempatan, dan wakil-wakil dari pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menangani isu tanpa kewarganegaraan, khususnya di Sabah.
Melaksanakan reform di peringkat pejabat Kerajaan, khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), memastikan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telus, bersifat manusiawi, dan berlandaskan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Resolusi Mendesak Pemansuhan Akta Hasutan 1948
Moratorium Penggunaan Akta Hasutan: Kerajaan hendaklah mengenakan moratorium segera ke atas semua pendakwaan di bawah Akta Hasutan sehingga semakan menyeluruh dapat dijalankan.
Semakan Menyeluruh Kes Siasatan: Semua kes yang sedang disiasat di bawah Akta Hasutan hendaklah disemak semula secara menyeluruh oleh pihak berkuasa yang berkaitan. Semakan ini hendaklah memastikan bahawa setiap dakwaan adalah berasas dan mematuhi prinsip keadilan serta tidak menyalahgunakan undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara.
Resolusi Mendesak Pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
Pendedahan Data Kematian dalam Tahanan: Kerajaan hendaklah memastikan semua data mengenai kematian dalam tahanan dibuat secara terbuka dan boleh diakses oleh orang awam. Data ini hendaklah dikemas kini secara berkala dan merangkumi maklumat terperinci seperti punca kematian, lokasi, dan status siasatan.
Penubuhan Jawatankuasa Semakan: Kerajaan hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai semula rekomendasi mengenai pindaan Akta Suruhanjaya Bebas Kelakuan Polis (IPCC), selari dengan cadangan peruntukan di bawah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk memperbaiki ketelusan dan akauntabiliti polis.
Rasional:
Resolusi ini digubal sebagai respons terhadap isu-isu mendesak berkaitan hak asasi manusia di Malaysia, terutamanya di bawah kepimpinan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution. Ia bertujuan untuk menangani masalah kewarganegaraan yang berlarutan, khususnya di Sabah, dan untuk melindungi hak asasi individu yang terancam oleh Akta Hasutan yang lapuk. Selain itu, resolusi ini menggesa pelaksanaan IPCMC dan penggunaan kamera badan (body cam) bagi meningkatkan akauntabilitidan ketelusan pihak polis, serta memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Comments