top of page
  • SUARAM

Serahan Memorandum: Kes Kematian Dalam Tahanan Kim Shih Keat Di Bawah Jagaan Penjara Kluang

Pada jam 12 tengah hari 4 Ogos 2022, pihak SUARAM bersama-sama dengan ahli keluarga mendiang Kim Shih Keat telah menghantar memorandum kepada Ahli-ahli Parlimen berkenaan kes kematian dalam tahanan ketika berada di bawah jagaan Penjara Kluang.


Tujuan memorandum ini dihantar adalah untuk menggesa pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan yang serius dan segera terhadap kes kematian dalam tahanan.


Wakil Ahli Parlimen yang turut hadir ketika sidang media termasuk Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor) yang merupakan peguam mewakili keluarga mangsa serta Charles Santiago (Klang), Kasthuri Patto (Batu Kawan), Maria Chin (Petaling Jaya), Boo Cheng Hau (Bekas ADUN Skudai), Chew Chong Sin (ADUN Mengkibol) dan juga Wong Shu Qi (Kluang).


Kim telah dijatuhi hukuman tujuh hari penjara dan denda sebanyak RM15,000 serta lesen memandunya digantung selama dua tahun selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 22 Jun lalu.


Walau bagaimanapun, pada tarikh yang sepatutnya Kim dibebaskan, ahli keluarganya mendapat panggilan daripada pihak ketiga, bukan daripada pihak penjara atau hospital bahawa Kim telahpun meninggal dunia.


SUARAM menerima maklum balas daripada ahli keluarga mendiang Kim dan mendapati hak-hak mereka telah dinafikan. Antaranya adalah hak untuk melawat dan hak untuk mendapatkan maklumat kesihatan Kim ketika di dalam penjara.


Mereka tidak dimaklumkan tentang masalah kesihatan yang dihadapi oleh mendiang Kim dalam tempoh masa terdekat. Maklumat berkenaan kematian Kim diterima melalui pihak ketiga, dan bukannya daripada pihak Penjara Kluang dan hospital. Ini adalah satu keganjilan dan tidak mengikut prosedur yang betul.


Ahli keluarga Kim mahu mengetahui apa yang berlaku dalam tempoh 7 hari tersebut sama ada terdapat kecuaian atau salah laku. Pihak Penjara Kluang perlu telus kerana sekiranya tidak, ia memberi ruang kepada seseorang untuk mengubah bukti dan mencemarkan tempat kejadian.


SUARAM memandang serius terhadap isu kematian di dalam tahanan, sama ada ia disebabkan salahguna kuasa, kecuaian mahupun kesihatan. Kami berpendapat bahawa kebajikan tahanan sewaktu ditahan adalah tanggungjawab penuh pihak berwajib yang menahan mereka, ini bertepatan dengan undang-undang Malaysia mahupun antarabangsa.

Berikut merupakan tuntutan yang dibawa:


1. Pihak bertanggungjawab menyerahkan dokumen berkaitan seperti laporan bedah siasat dan laporan toksikologi kepada ahli keluarga Kim Shih Keat dan wakil peguam dengan serta-merta.


2. KDN harus berjumpa NGO hak asasi manusia dan juga pemegang taruh yang lain untuk bekerjasama mencari jalan terbaik menyelesaikan kematian dalam tahanan kerana apa yang dilakukan sekarang jelas tidak mengurangkan kematian dalam tahahan, malah bilangan kes semakin bertambah.


3. Pendakwa raya menggunakan kuasa beliau di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan koroner menjalankan siasatan ke atas kematian dalam tahanan. Manakala, koroner perlu menjalankan prosiding inkues dengan segera mengikut Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).


4. Kerajaan dan pihak berkaitan perlu memberi sokongan dan pampasan yang sewajarnya kepada ahli keluarga dalam bentuk kewangan serta kaunseling, bagi membantu mereka mengharungi cabaran ini.


5. Kerajaan menggubal Akta Mahkamah Koroner bagi memperkukuhkan peranan koroner dan memastikan badan koroner bebas seperti mana di United Kingdom yang termaktub di Coroners and Justice Act 2009.


Tonton sidang media di Parlimen: https://youtu.be/0rzGAhwd4EQ


Serahan memorandum juga turut dilakukan kepada pihak Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri.







31 views0 comments
bottom of page