top of page
  • SUARAM

SUARAM: HENTIKAN SIASATAN DI BAWAH AKTA HASUTAN TERHADAP MUKMIN SERTA MERTA

Sejak terbentuknya kerajaan perpaduan, buat pertama kalinya undang-undang ‘ketinggalan zaman’, Akta Hasutan digunakan terhadap pembela hak asasi manusia (HAM), iaitu kepada pengasas Borneo Komrad, Mukmin Nantang yang cuba untuk mendedahkan isu-isu penindasan.


Hanya pada tahun lalu, mengikut dokumentasi SUARAM, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan undang-undang fitnah telah digunakan terhadap pembela HAM semasa berlakunya pengusiran paksa petani di Kanthan. Situasi sebegini jelas menunjukkan kemunduran kepada kebebasan bersuara seperti yang terjadi sewaktu pandemik, apabila Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia disalahgunakan secara berleluasa oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk mendiamkan pembela HAM dan media daripada melakukan pendedahan kritikal terhadap isu-isu pelanggaran HAM. 


Siasatan terhadap Mukmin selepas penangkapan dan penahanan seorang guru dan lapan anak muridnya baru-baru ini - susulan daripada himpunan #KamiMahuAir, jelas sekali menunjukkan bahawa kerajaan tidak berprinsip kepada rakyat dan hanya mementingkan kredibiliti dan reputasinya sahaja. Kerajaan hari ini dilihat mengabaikan komitmen yang dibuat untuk meningkatkan akauntabiliti negara serta tanggungjawab asas untuk menegakkan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Penyalahgunaan Akta Hasutan secara terang-terangan ini menjadikan komitmen yang dibuat oleh kerajaan perpaduan pada Mac tahun ini untuk meminda undang-undang tersebut dilihat tidak bermakna. 


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dengan tegas mengkritik siasatan polis terhadap Mukmin dan menuntut agar siasatan tersebut dihentikan serta-merta. Kami juga menyeru kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan mengukuhkan usaha ini dengan:


  • Melaksanakan morotarium ke atas penggunaan undang-undang tersebut sementara menunggu pemansuhan, dan

  • Menerima dan melaksanakan sepenuhnya enam cadangan mengenai pemansuhan Akta Hasutan yang diterima semasa kitaran keempat Penilaian Berkala Sejagat. 

5 views0 comments

Comments


bottom of page