Hanya dalam masa dua hari, pihak polis telah cuba menyekat hak perlembagaan rakyat untuk berhimpun secara aman. Merujuk kepada amaran yang dikeluarkan semalam mengenai tindakan tegas yang akan diambil oleh pentadbiran kerajaan terhadap penganjur dan peserta perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang akan berlangsung pada 16 September, serta tindakan polis yang menghalang penganjur dan peserta perhimpunan ‘Lawan Lapar’ daripada berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum mengenai keterjaminan makanan kepada ahli Parlimen dengan menggunakan penghadang polis perlapis di Plaza Tugu Negara. Justeru, kami pihak SUARAM mengecam sekeras-kerasnya kedua-dua perbuatan tersebut.
Bahawasanya, amaran sebelum perhimpunan ini adalah taktik lama oleh pentadbiran kerajaan terdahulu untuk menyekat perhimpunan awam yang dianggap ‘sangat sensitif’, walaupun tiada penanda bahwa perhimpunan tersebut adalah tidak aman.
Penghadang polis berlapis yang digunakan untuk menghalang perhimpunan semalam adalah sama seperti rantaian anggota polis sewaktu perhimpunan ‘Walk for Judicial Independence’ yang diadakan pada tahun lepas. Di samping itu, terdapat juga syarat-syarat dikenakan oleh pihak polis yang menyalahi undang-undang dalam kedua-dua perhimpunan iaitu pertama sewaktu perhimpunan Lawan Lapar polis telah meletakkan syarat penyerahan memorandum di kawasan ‘tapak berhalang’. Kedua, syarat kuota dimana hanya wakil sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke Parlimen sewaktu perhimpunan ‘Walk for Judicial Independence’.
Sebagai pimpinan yang mengisytiharkan diri sebagai ‘reformis’, kerajaan sepatutnya tidak melakukan intimidasi yang menggugat hak berhimpun secara aman. Terutamanya apabila ramai ahli politik yang sebelum ini semasa menjadi pembangkang juga mengalami halangan-halangan sama sewaktu menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan awam. Sehubungan dengan komitmen yang telah diberikan oleh Perikatan Nasional untuk bekerjasama, adalah penting bahawa pihak polis bukan sahaja membenarkan berhimpun tetapi harus memudahkan kelancaran perhimpunan pada 16 September nanti. Terakhir, kerajaan juga harus mengambil langkah jelas, seperti meminda atau memansuhkan Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya setiap Rakyat boleh melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dengan sepenuhnya.
Comments