top of page
  • SUARAM

SUARAM: PINDA PROSEDUR POLIS, NAMUN PEMIKIRAN HARUS BERKEMBANG BAGI MEMUDAHKAN, BUKAN MENGHINDARKAN PERHIMPUNAN AWAM

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengalu-alukan keterbukaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menerima cadangan memperkemas prosedur dalam mengendalikan “permohonan permit perhimpunan”.


Penambahbaikan kepada prosedur polis berhubung perhimpunan awam sudah lama tertangguh. Terdapat jurang yang kritikal dalam keadaan tidak konsisten dikenakan apabila penganjur telah memaklumkan kepada polis tentang perhimpunan awam, surat rasmi pula ‘diperlukan’ bagi Perarakan Hari Wanita, dimana kandungan maklumatnya sama seperti serahan dalam borang pemberitahuan. Penganjur perhimpunan aman di ruang awam seperti di Dataran Merdeka juga turut menghadapi keperluan yang tidak munasabah, iaitu mendapatkan persetujuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ini adalah suatu halangan birokrasi yang tidak berasas apabila DBKL bukanlah pemilik mahupun penghuni ruang awam. Tambahan pula, siasatan pasca perhimpunan terhadap penganjur, terutama mereka yang telah memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan awam juga masih berterusan. Tindakan ini juga bukan sahaja membazirkan sumber polis, taktik intimidasi sebegini turut menghalang rakyat daripada menggunakan hak mereka secara sah untuk menyatakan pendapat secara kolektif dan penyertaan politik. Jurang ini perlu ditangani dalam pindaan prosedur.


Namun begitu, perubahan prosedur sahaja mungkin tidak mencukupi, melainkan disertai dengan pembaharuan menyeluruh dalam akar isu - pendekatan polis dalam menguruskan perhimpunan awam. Walaupun 11 tahun lalu terdapat pindaan kepada Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan juga baru-baru ini penjelasan daripada Ketua Polis Negara, kesan pemikiran ‘tiada permit, perhimpunan haram’ masih kekal. Ini terbukti dengan penggunaan berterusan perkataan 'permit' dari semasa ke semasa oleh jurucakap polis, dan semalam (4 Mac 2024) oleh Menteri Dalam Negeri. Timbangtara tidak wajar oleh pegawai polis mengenai perhimpunan awam dilihat masih mengecewakan, khususnya melalui 'nasihat' kepada penganjur untuk tidak mengadakan perhimpunan awam dalam mesyuarat pemudah cara sebelum perhimpunan.


Tujuan utama pemberitahuan dan mesyuarat sebelum perhimpunan adalah untuk membolehkan polis memudahkan perhimpunan awam berlangsung - dan bukan menghalang seseorang untuk menggunakan hak perlembagaan bagi berhimpun secara aman. Sehubungan itu, membolehkan mekanisme ini diakses dalam talian dapat memperkemas proses untuk kedua-dua pihak (penganjur dan polis) dan mengatur dan memudahkan perhimpunan aman dilakukan. Selain itu, kami mengulangi cadangan dari 25 Februari 2024 lalu bahawa penangkapan dan penahanan aktivis Harmit Singh di GegarAmerika - keperluan anggota polis untuk peka dengan peranan mereka dan amalan baik dalam mengendalikan perhimpunan awam, memandangkan terdapat jurang dalam pemahaman berkaitan dengan prosedur tersebut.


SUARAM berharap dapat berhubung secara langsung dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai prosedur sedia ada untuk perhimpunan awam. Kami juga menggesa KDN untuk menganjurkan perundingan dengan organisasi masyarakat sivil untuk mengumpulkan input mengenai pengalaman dan cadangan mereka dalam menambah baik prosedur ini.

1 view0 comments

Комментарии


bottom of page