top of page
SUARAM

CSO KECAM KEMENTERIAN DALAM NEGERI TIDAK DEMOKRATIK, DEWAN NEGARA PERLU TANGGUHKAN RUU POLIS (PINDAAN) SEGERA

[KENYATAAN MEDIA KLUSTER AKAUNTABILITI POLIS]


Pertubuhan masyarakat sivil (Civil society organization – CSO) daripada Kluster Akauntabiliti Polis yang tertulis di bawah mengecam sekeras-kerasnya langkah Kerajaan Madani yang membentang dan meluluskan Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2024 dengan tergesa-gesa tanpa sebarang sesi libat urus bersama pemegang taruh.


Kami berasa kecewa kerana modus operandi kerajaan meluluskan RUU ini serupa dengan kerajaan pemerintahan terdahulu. Amalan buruk ini bukan sahaja tidak demokratik, malah membelakangi prinsip reformasi dan ketelusan yang sering ditekankan oleh Kerajaan Madani. Malah, tindakan ini tidak konsisten dengan kenyataan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selepas perjumpaan bersama pemimpin Bersih pada 28 Februari 2024. Perdana Menteri pernah menyatakan kepentingan dialog dan ruang bertukar pandangan serta pendekatan yang lebih inklusif dalam mendengar pandangan masyarakat sivil. Usaha sebegini mampu meningkatkan sinergi masyarakat sivil dengan kerajaan dalam proses demokrasi negara.


Setiap RUU patut digubal dan dibahaskan dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat secara komprehensif, terutamanya apabila isi kandungan RUU tersebut melibatkan isu kepentingan awam. Oleh sebab Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah badan penguatkuasa terbesar di Malaysia, serta apabila diambil kira kes-kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pihak polis yang sering dilaporkan, amat penting bagi pandangan awam diambil kira dalam proses pindaan Akta Polis 1967.


Namun, sampai hari ini, pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, mahupun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta Majlis Peguam Malaysia masih tidak menerima sebarang maklumat asas mengenai RUU ini.


Persoalan-persoalan mengenai kedaulatan undang-undang (rule of law), ketelusan, hukuman yang tidak seimbang dengan kesalahan, penyalahgunaan kuasa polis atau rasuah turut tertimbul dalam pindaan kali ini.


Kami dengan segera menuntut perundingan dan penjelasan terutamannya mengenai perkara-perkara berikut:



1. Pindaan seksyen 21 berkenaan tugas di jalan awam Akta Polis 1967

Pindaan seksyen 21 Akta Polis 1967 telah menaikkan denda maksimum daripada RM 200 kepada RM 10,000 dan tempoh pemenjaraan daripada tiga bulan kepada dua tahun bagi kesalahan di bawah peruntukan itu yang berkaitan dengan mana-mana orang yang menghalang, membangkang atau ingkar menurut apa-apa arahan yang munasabah yang diberi oleh mana-mana pegawai polis.

Persoalannya, bagaimanakah seorang pegawai polis menentukan sama ada suatu arahan adalah munasabah atau tidak? Memandangkan mekanisme penyeliaan pengawasan polis sedia ada adalah kurang efektif, adakah pindaan ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah? Kami khuatir “Little Napoleon” sebaliknya yang akan bermaharajalela selepas ini. Selain itu, adakah peruntukan ini menjadi ‘perundangan berlebihan’ (legal redundancy) kepada seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya)?


2. Pertindihan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012

Kerajaan juga perlu memberi penjelasan sama ada perhimpunan aman atau demonstrasi di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tertakluk kepada seksyen 21 dan seksyen 26 (tidak mematuhi isyarat pegawai polis sewaktu sekatan jalan raya) Akta Polis 1967. Jikalau tidak, maka kerajaan harus memperhalusi definisi dan penggunaan peruntukan-peruntukan undang tersebut.


3. Pindaan berkaitan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong

Rakyat juga memerlukan penjelasan lebih mendalam mengenai rasional pelantikan Yang di-Pertuan Agong selaku Pesuruhjaya Yang di-Pertuan Kehormat PDRM. Apakah penambahan kewajipan, fungsi, peranan, tugas dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong susulan pelantikan baginda sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM? Bagaimanakah kerajaan memastikan pelantikan ini selaras dan tidak bercanggah dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang merupakan batu asas utama kepada demokrasi negara kita?

Memandangkan kekurangan ketelusan dan perundingan, kami menyeru para Ahli Dewan Negara agar menangguh RUU Polis (Pindaan) 2024 sementara menunggu kerajaan memberi penjelasan selanjutnya. Manakala, kerajaan pula harus mengambil kesempatan untuk bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan dan menerima cadangan penambahbaikan RUU.


Kami juga menekankan bahawa pihak Kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri wajib mengambil pendekatan berasaskan hak asasi manusia (human rights based approach) ketika membuat dasar-dasar atau pindaan undang-undang yang berkaitan dengan rakyat jelata. Tidak kira Pindaan Perlembagaan berkaitan isu kewarganegaraan, pindaan Akta Hasutan atau RUU Polis (Pindaan) 2024 ini, menteri berkenaan harus mendengar dan menerima pandangan dan suara bantahan rakyat Malaysia. Beliau harus berhenti melaksanakan sesuatu mengikut kehendak hati dan kepentingan politik diri sendiri atau melawan kehendak dan kepentingan rakyat jelata.


Disokong oleh:

1. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

2. Liga Rakyat Demokratik (LRD)

3. Centre for Independent Journalism (CIJ)

4. Justice for Sisters

5. Hayat

6. Amnesty International Malaysia

7. The Center to Combat Corruption and Cronyism (C4)

8. Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED)

9. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

10. Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU)

11. All Women's Action Society (AWAM)

11 views0 comments

Comments


bottom of page