top of page
SUARAM

HALANGAN MEMBUAT LAPORAN POLIS ATAS ALASAN PEMAKAIAN MELANGGAR PRINSIP

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 4 Februari 2023 bahawa kelonggaran etika berpakaian di balai polis hanya dibenarkan dalam kes kecemasan dan terhad kepada situasi "hidup dan mati".


Kami ingin mempersoalkan bagaimana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menentukan penilaian sebegini dan menetap sama ada kes tersebut bersifat “hidup dan mati”? Sepatutnya isu ini tidak wujud kerana tanggungjawab polis adalah untuk menerima setiap laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak tanpa syarat termasuk golongan yang ingin membuat laporan polis tetapi pemakaian mereka tidak memenuhi kriteria.


Ini bukan kali pertama isu pemakaian dibangkitkan ketika orang awam ingin mengakses kepada perkhidmatan polis. Seorang mangsa gangguan seksual yang memakai ‘cosplay’ telah dimalukan dan disalahkan oleh pegawai polis kerana berpakaian sedemikian.


Tindakan ini membangkitkan beberapa persoalan dasar perkhidmatan unit penguatkuasaan termasuk penafian hak untuk membuat aduan dengan alasan pemakaian tidak bersesuaian, melambatkan proses penyiasatan dan melambatkan keadilan. Moto PDRM amat jelas, iaitu tegas, adil dan berhemah, maka pihak polis sepatutnya bersikap adil dan tegas ketika melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab. Pihak polis tidak boleh menggunakan sebarang alasan terutamanya alasan pemakaian tidak bersesuaian bagi menghalang mana-mana pihak daripada membuat laporan polis.


SUARAM berpendapat bahawa pengadu yang hadir ke balai polis dan membuat laporan adalah golongan yang memerlukan bantuan atau pelindungan serta-merta. Tindakan polis yang menghalang individu masuk ke balai polis atas alasan pemakaian tidak bersesuaian bukan sahaja mencabuli hak asasi rakyat Malaysia, malah melanggar prinsip kesamarataan di Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang’.


PDRM perlu meletakkan keutamaan dalam menerima laporan, membuat siasatan dan menghantar laporan siasatan kepada Pendakwa Raya tanpa membuat sebarang pengadilan berdasarkan penampilan dan pemakaian pengadu. PDRM tidak harus menjadi entiti yang merangsang kepolisan moral dan diskriminasi terhadap pemakaian pengadu atau mangsa.


SUARAM mengingatkan kerajaan baharu untuk mengekalkan pendirian dan mengeluarkan satu notis rasmi seperti apa yang Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Dato' Sri Azalina Othman berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen pada tahun 2015, iaitu tiada kod pakaian untuk orang ramai ketika berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan. Dasar ini perlu dijelaskan kepada semua kakitangan dalam sektor awam termasuk PDRM tanpa mengira pangkat.

17 views0 comments

Comentarios


bottom of page