top of page
  • SUARAM

[Kenyataan Media]: Pelancaran Laporan Tahunan SUARAM ‘Hak Asasi Manusia Malaysia’ bagi Tahun 2023

Tahun 2023 membentuk gambaran kurang menyenangkan bagi keadaan hak asasi manusia dan reformasi di negara ini, sekaligus menandakan kemajuan positif dan kemunduran dalam bidang-bidang utama, termasuklah pelanggaran hak secara berterusan terhadap kumpulan rentan.

 

Undang-undang yang melanggar hak kepada perbicaraan yang adil terus digunakan. SUARAM mendokumenkan 3,220 kes penangkapan, penahanan dan pertuduhan berkaitan pemerdagangan manusia di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (dikenali sebagai SOSMA). Buat pertama kali sejak penguatkuasaanya, SOSMA digunakan untuk menangkap dan menahan ahli sindiket dadah. Perkara ini merisaukan apabila undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 sememangnya tersedia. Inilah yang dihadapi 23 orang tahanan di dalam kes Geng 08 GST - penahanan berpanjangan sekurang-kurangnya dua tahun di penjara (dan kemudian dikurangkan kepada setahun). Tahun 2023 juga memperlihat 1,012 tangkapan telah dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (DDA 85). Walaupun terdapat desakan yang berpanjangan untuk meminda SOSMA, namun tiada garis masa yang jelas diberikan. Penangguhan lebih lama akan menyebabkan pelanggaran hak asasi untuk perbicaraan yang adil. Tunjang kepada isu ini adalah penunaian hak sosial dan ekonomi keluarga tahanan.

 

Walaupun kematian dalam kes tahanan (DIC) pada 2023 mungkin berkurangan sebanyak 48% berbanding tahun sebelumnya, isu kekurangan ketelusan data masih berterusan. Akses kepada keadilan untuk keluarga si mati juga amat mencabar dan kekal berlarutan. SUARAM mencatatkan enam kes DIC yang lama, di mana prosiding mahkamah terakhir telah berlangsung pada tahun lalu. Keluarga-keluarga yang menuntut keadilan ini telah berjuang selama 10 tahun. Namun, tiada komitmen dalam pentadbiran semasa untuk menambah baik Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (IPCC) - salah satu ikrar oleh gabungan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya pada 2022.

 

Pemerosotan paling ketara dapat dilihat dalam kebebasan bersuara. Undang-undang utama seperti Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terus dikuatkuasakan. Langkah yang lebih eksplisit, misalnya amaran-amaran oleh ahli dalam kerajaan dan penubuhan pasukan siasatan khas diwujudkan bagi melaksanakan kawalan lebih ketat ke atas wacana berkaitan kaum, agama dan Raja-raja Melayu. Lima larangan telah digubal di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 - antaranya empat buku dan satu jam tangan jenama Swatch Pride. Serbuan ke atas dua kedai buku telah dijalankan dimana 10 buah buku yang tiada dalam senarai buku terlarang turut dirampas. Ancaman terhadap autonomi pelajar di universiti dan kebebasan artistik kekal ketara dikekang.

 

Sekatan untuk kebebasan berhimpun secara aman masih berterusan. Siasatan terhadap penganjur dan/atau peserta selepas perhimpunan malah dalam sesetengah kes, sebelum perhimpunan berlangsung, turut berlanjutan. SUARAM mendokumenkan sebilangan individu yang disiasat sekurang-kurangnya 91 orang bagi tahun ini. Antara taktik yang dilihat kerap digunakan beberapa tahun kebelakangan ini adalah penghadang polis, penangkapan dan penahanan individu-individu. Ini termasuklah amaran yang dikeluarkan sebelum perhimpunan sama ada anjuran pembangkang politik atau himpunan di ruang awam yang penting seperti Parlimen. SUARAM turut mendokumenkan kes ugutan dan tindakan balas. Seorang aktivis didakwa di mahkamah walaupun menjadi mangsa penggunaan kekerasan oleh pegawai penguatkuasa semasa protes.

 

Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah diluluskan pada tahun 2023 menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam memperkukuhkan institusi berkenaan. Ia amat diperlukan apabila kredibiliti institusi tersebut terjejas berikutan dakwaan mantan Pengerusi SUHAKAM mengenai diskriminasi kaum dalam pelantikan kakitangan. Susulan peristiwa berkenaan, saman fitnah difailkan terhadap pemberi maklumat berkenaan kerana membuat aduan dalaman mengenai perihal itu.

 

Salah satu pencapaian terbesar yang dicapai Malaysia pada tahun lalu adalah kelulusan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023. Kini, proses penghukuman semula banduan akhir sedang rancak dilakukan. Walau bagaimanapun, timbul jurang semasa rayuan mitigasi, antaranya ketidakcukupan masa dalam mengumpul bahan bukti yang relevan serta kurang pertimbangan diberikan kepada masalah kesihatan mental banduan yang perlu ditangani dengan segera.

 

Mengenai reformasi institusi, terdapat beberapa tindakan yang boleh dipuji. Antaranya adalah kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, penggubalan RUU Ombudsman yang masih berjalan serta pemberdayaan fungsi dan sumber bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Namun begitu, reformasi lain yang turut penting seperti pengasingan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya, salah pembahagian (malapportionment), dana pembangunan kawasan pilihan raya untuk pembangkang, lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan dan pengembalian semula pilihan raya kerajaan tempatan masih belum selesai.

 

Diskriminasi dan ketakutan terus menguasai kehidupan kumpulan minoriti yang terpinggir. Peningkatan siasatan dan kekerapan serbuan ke atas migran mengaburi usaha awal yang positif oleh kerajaan untuk menambah baik kebajikan mereka iaitu pelancaran garis panduan buruh paksa. Kesedaran hak untuk bekerja bagi pelarian dan penentuan diri (self-determination) bagi Orang Asli masih belum dapat dilihat. Hak asasi golongan LGBTIQ dan orang pelbagai jantina semakin mundur pada tahun 2023. Buktinya dapat dilihat apabila ada peningkatan dalam penapisan ekspresi LGBTIQ, pengenalan undang-undang syariah anti-LGBT dan pengembangan amalan pemulihan (conversion therapy practices). Perlanggaran hak kepada kebebasan beragama dan kepercayaan bagi agama minoriti berterusan berlaku. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan juga akan memburukkan lagi masalah tanpa kewarganegaraan.

 

Ketika kerajaan perpaduan bergerak memasuki tahun kedua, adalah penting untuk menambat semua undang-undang dan dasar kepada nilai-nilai Madani yang mengutamakan keterangkuman, penghormatan yang sama untuk semua dan kepercayaan daripada ketelusan dan akauntabiliti.

43 views0 comments
bottom of page